Wednesday, April 23, 2008

Muhammad Iman Hakimi

Alhamdulillah, akhirnya pada tanggal 14 April 2008 tepat jam 10.29 pagi, lahirlah seorang insan yang bernama Muhammad Iman Hakimi. Dengan berat 3.62kg, Iman Hakimi menjadi permata hatiku yang sulung.

Aku bersyukur kerana isteri tercintaku selamat dan sihat walafiat walaupun terpaksa melahirkan Iman Hakimi melalui kaedah Caesarean section. Iman Hakimi yang baru hendak masuk 38 minggu lahir dengan sedikit masalah pernafasan. 4 hari dia terpaksa menghabiskan masa di dalam kotak oksigen tanpa sebarang makanan atau minuman. Pada hari kelima pula, dia terpaksa diletakkan di bawah sinaran ultraviolet kerana menghidap jaundis.

Walaupun hadirnya ke dunia ini berhadapan dengan pelbagai ujian, aku dan isteriku tetap bersyukur kerana Iman Hakimi tabah menghadapinya dan bersemangat kental untuk meneruskan kehidupannya. Mudah-mudahan kehadirannya kini di dalam hidup aku sekeluarga menambahkan lagi rezeki dan kebahagiaan yang aku sekeluarga kecapi.

Sunday, September 23, 2007

Leeds Extends Records

Yeehaa.. lupakan Liverpool. Lupakan Chelsea. Lupakan Arsenal. Man Who? Ah.. lupakan juga. Hanya ingatkan Leeds United!

Leeds 2-0 Swansea


Leeds extended their 100% record with a comfortable 2-0 victory against visiting Swansea to record a club-record eight straight wins.

Elland Road's biggest crowd of the season saw the hosts do the damage with second-half strikes from Jermaine Beckford and David Prutton.
blog it

Sunday, September 9, 2007

Value of a Life

"Di satu pagi yang indah, anda bangun dengan semangat yang berkobar-kobar. Setelah siap mandi dan berpakaian, anda melangkah masuk ke kereta BMW 3 Series yang anda sayangi. Enjin dihidupkan. Ngauman kereta anda memecah keheningan pagi yang dingin itu.

Anda tiba ke tol Gombak. Deretan kereta yang beratur menanti giliran di bahagian pembayaran tunai membuatkan anda berbangga menggunakan SmartTAG. Kereta anda terus meluncur megah di Lebuhraya Pantai Timur di pagi yang permai itu.

Setengah jam kemudian, anda terpandang papan tanda di sebelah kiri lebuh raya. Papan tanda yang tertulis "Persimpangan Maran - 2 km". Anda tersenyum bangga sekali lagi. Bangga dengan prestasi kereta anda dan kecekapan anda memandu pantas hingga mampu tiba di Maran dalam masa 30 minit sahaja. Senyuman anda memancar seterang mentari pagi yang membelah kesejukan pagi yang ceria itu.

Dengan tidak semena-mena, tayar kereta anda meletup. Anda hilang kawalan. Anda cuba menekan brek dan membetulkan haluan kereta, tetapi terasa sukar sekali. Pada halaju 100km/j, mungkin anda masih mempunyai peluang. Tetapi anda sedang memandu pada 200km/j!

Di saat itu, segala-galanya terlintas di fikiran anda. Anak-anak dan isteri yang bakal ditinggalkan buat selama-lamanya. Ayah ibu di kampung. Rumah banglo. Deretan kereta. Kerja. Pangkat. Semuanya akan ditinggalkan buat selama-lamanya."

Pernahkah korang terfikir situasi begini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja, termasuk diri korang sendiri? Itulah yang aku terfikir apabila melihat satu kemalangan jalan raya di Lebuh Raya Pantai Timur ketika pulang dari KL hujung minggu lepas. Betapa murahnya harga satu kehidupan. Mayat mangsa kemalangan hanya diletakkan begitu sahaja di pembahagi jalan. Kereta mahal sudah tiada makna. ABS, Airbag, dan sebagainya hanya tinggal nama sahaja.

Murah itukah nyawa kita?

Friday, August 3, 2007

Thinking Positively

Pernahkah kita terfikir, kenapa orang kita jarang berfikiran positif? Pernahkah kita terfikir, kenapa orang kita suka buruk sangka? Pernahkah kita terfikir, kenapa orang kita suka dengan berita-berita sensasi, berita-berita panas, gosip-gosip hangat yang kebanyakannya menjatuhkan imej seseorang berbanding dengan cerita-cerita teladan orang-orang yang berjaya?

Adakah orang kita ini terlalu cetek pengetahuan? Atau kerana orang kita pendek akal? Atau kerana orang kita malas menggunakan akal fikiran yang telah dikurniakan Allah?

Aku tidak tahu jawapannya. Aku hingga hari ini tetap musykil. Tetap pelik. Musykil dan pelik bilamana melihat keadaan orang-orang kita yang sanggup bersusah payah untuk menyebarkan cerita-cerita negatif tentang orang lain sedangkan cerita-cerita positif bersepah di mana-mana. Musykil dan pelik kerana bukan sedikit orang kita yang berjaya tetapi kurang diketahui umum, sedangkan orang kita yang berkecimpung dalam bidang nyanyian dan lakonan sering menjadi buah mulut para remaja, para belia, malahan pakcik makcik di kampung dan juga Datuk Datin di kabinet. Sudah habiskah modal bahan bualan kita? Atau memang penyakit kita yang tidak kenal istilah berfikiran positif?

Entahlah. Biarlah mereka yang lebih arif memikirnya. Aku akan mencuba untuk cuba berfikiran positif. Sesuatu yang berlaku ada hikmahnya. Persepsi kita bakal menentukan kepercayaan kita dan seterusnya tingkah laku kita. Baik persepsi, maka baiklah kepercayaan dan prinsip hidup kita. Mudah-mudahan aku akan terus mencuba untuk mencuba hingga menjadi darah daging aku. Amin.

Friday, July 27, 2007

Who We Are?

Bila mana kita duduk seorang diri tanpa melakukan apa-apa kerja, kadangkala kita terfikirkan tentang diri kita. Siapa diri kita yang sebenarnya? Kenapa kita wujud? Apakah tujuan kewujudan kita?

Banyak pendapat mengatakan setiap orang ada matlamat akhir kehidupan mereka. Baik untuk menjadi seorang yang berjaya di dalam bidang masing-masing, mahupun untuk bahagia hidup bersama keluarga. Ramai yang mengatakan mereka tahu kehendak diri masing-masing. Sebahagian besar mengatakan mereka tahu bagaimana untuk mencapai kehendak mereka. Dan tidak kurang, yang menyatakan mereka hilang punca dan arah apabila pelan hidup mereka tidak menjadi kenyataan kerana sebab musabab yang tertentu.

Semalam aku terfikir. Hidup aku punya macam-macam matlamat yang ingin aku capai. Hidup aku penuh dengan impian, tanggungjawab dan kehendak. Hidup aku bersulam penuh dengan lumrah manusia. Tapi, seperti lumrah manusia juga, banyak cabaran dan halangan muncul dalam hidup. Seperti lumrah manusia juga, banyak impian, tanggungjawab dan kehendak yang tidak kesampaian.

Jadi apa yang harus aku buat? Cuba lagi? Kecewa? Marah? Kesal? Bila aku fikirkan semula, aku dapati yang aku melakukan kesilapan paling besar dalam hidup aku. Kesilapan kerana aku gagal mengenali diri aku sendiri. Kesilapan kerana mempunyai matlamat hidup yang salah.

Hidup di dunia bukannya kekal. Tujuan kita hidup bukan untuk dunia. Tapi untuk kehidupan kita selepas di dunia. Kita diwujudkan semata-mata untuk beribadat kepada Tuhan Yang Satu. Niat utama kita hendaklah selaras dengan tujuan kewujudan kita. Barulah apa yang kita inginkan dalam hidup betul. Barulah cita-cita kita betul. Barulah cara kita betul. Kalau dunia ini impian kita, maka dunialah yang akan kita pegang. Akan kita kendong. Akan kita bergelumang. Hasilnya? Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Tapi kalau kita berpegang kembali pada jalan yang asal, kita akan tidak mudah kecewa. Tidak mudah marah. Tidak mudah kesal. Kita tahu, keinginan kita semata-mata kerana untuk mencapai keredhaan Allah. Jadi, kalau apa yang kita usahakan tidak seperti apa yang kita inginkan, kita akan redha dengan ketentuan Allah. Kita akan yakin keputusan tersebut adalah kehendak Allah, dan setiap kejadian yang diputuskan oleh Allah ada hikmahnya tersendiri. Hidup kita akan lebih yakin, teratur dan bebas dari niat buruk dan hasad dengki.

Jadi sama-samalah kita beringat selalu tentang tujuan kita diwujudkan. Mudah-mudahan kita selamat dunia dan akhirat. Amin