Friday, July 27, 2007

Who We Are?

Bila mana kita duduk seorang diri tanpa melakukan apa-apa kerja, kadangkala kita terfikirkan tentang diri kita. Siapa diri kita yang sebenarnya? Kenapa kita wujud? Apakah tujuan kewujudan kita?

Banyak pendapat mengatakan setiap orang ada matlamat akhir kehidupan mereka. Baik untuk menjadi seorang yang berjaya di dalam bidang masing-masing, mahupun untuk bahagia hidup bersama keluarga. Ramai yang mengatakan mereka tahu kehendak diri masing-masing. Sebahagian besar mengatakan mereka tahu bagaimana untuk mencapai kehendak mereka. Dan tidak kurang, yang menyatakan mereka hilang punca dan arah apabila pelan hidup mereka tidak menjadi kenyataan kerana sebab musabab yang tertentu.

Semalam aku terfikir. Hidup aku punya macam-macam matlamat yang ingin aku capai. Hidup aku penuh dengan impian, tanggungjawab dan kehendak. Hidup aku bersulam penuh dengan lumrah manusia. Tapi, seperti lumrah manusia juga, banyak cabaran dan halangan muncul dalam hidup. Seperti lumrah manusia juga, banyak impian, tanggungjawab dan kehendak yang tidak kesampaian.

Jadi apa yang harus aku buat? Cuba lagi? Kecewa? Marah? Kesal? Bila aku fikirkan semula, aku dapati yang aku melakukan kesilapan paling besar dalam hidup aku. Kesilapan kerana aku gagal mengenali diri aku sendiri. Kesilapan kerana mempunyai matlamat hidup yang salah.

Hidup di dunia bukannya kekal. Tujuan kita hidup bukan untuk dunia. Tapi untuk kehidupan kita selepas di dunia. Kita diwujudkan semata-mata untuk beribadat kepada Tuhan Yang Satu. Niat utama kita hendaklah selaras dengan tujuan kewujudan kita. Barulah apa yang kita inginkan dalam hidup betul. Barulah cita-cita kita betul. Barulah cara kita betul. Kalau dunia ini impian kita, maka dunialah yang akan kita pegang. Akan kita kendong. Akan kita bergelumang. Hasilnya? Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Tapi kalau kita berpegang kembali pada jalan yang asal, kita akan tidak mudah kecewa. Tidak mudah marah. Tidak mudah kesal. Kita tahu, keinginan kita semata-mata kerana untuk mencapai keredhaan Allah. Jadi, kalau apa yang kita usahakan tidak seperti apa yang kita inginkan, kita akan redha dengan ketentuan Allah. Kita akan yakin keputusan tersebut adalah kehendak Allah, dan setiap kejadian yang diputuskan oleh Allah ada hikmahnya tersendiri. Hidup kita akan lebih yakin, teratur dan bebas dari niat buruk dan hasad dengki.

Jadi sama-samalah kita beringat selalu tentang tujuan kita diwujudkan. Mudah-mudahan kita selamat dunia dan akhirat. Amin

Thursday, July 19, 2007

My Flickr

Yup. Tambahan pada senarai Syndicates telah dibuat. Tambahan yang bertajuk My Flickr. Buat masa ini, semua gambar-gambar diletakkan di bawah kategori "For Friends & Family only". Jadi, kalau teringin nak tengok gambar-gambar yang telah aku muatkan ke dalam Flickr, kenalah register dulu kat Flickr, dan beritahu ID yang didaftarkan untuk aku masukkan ke kategori Friends. Pendaftaran adalah percuma, dan aku tak ada terima sesen pun daripada iklan ini. Heheh.

Wednesday, July 18, 2007

Lost :(

Erks.. ni bukan pasal cerita Lost yang Akram dok minat sangat tu. Ni pasal kehilangan barang yang terjadi baru-baru ini dekat rumah baru aku.

Masa mula-mula dapat kunci, kitorang dapati yang beberapa kepala paip, besi penutup lubang lelaki (manhole daa.. hehe) dan besi pagar dapur hilang. Nasib baik boleh minta pemaju gantikan. Lepas tu, baru-baru ini, fius untuk meter elektrik pula yang kena curi. Sakit betul la manusia zaman sekarang. Segala benda boleh diorang sapu untuk duit. Memang sah negara kita makin lama makin sakit. Makin rosak. Makin binasa. Yang merana? Orang-orang yang tak bersalah macam aku.. huhuhu.

Sekarang ni aku tengah dok fikir-fikir sama ada nak pasang penggera keselamatan atau tidak kat rumah tu. Masalah kewangan terhad menyukarkan aku untuk membuat keputusan. Dahlah baru sahaja keluar duit untuk duit pemasangan penghadang tingkap. Nak kena beli almari, dapur, peti sejuk, katil dan macam-macam lagi pula. Seksa.. seksa. Tapi bila fikir-fikirkan balik, keselamatan keluarga lagi penting dari harta benda. Tengoklah macam mana nanti... korek-korek lagi duit dari mana-mana sumber halal lain kot.

Tuesday, July 17, 2007

Away...

Apa rasanya bila kita terpaksa berpisah dengan sesuatu yang kita amat sayangi, walaupun hanya seketika? Apa rasanya bila nikmat yang kita kecapi saban hari ditarik balik, walaupun hanya sementara?

Kita selalu leka dengan apa yang kita ada. Kita mudah terlupa yang segala apa yang kita punyai bukanlah milik kekal kita. Hari ini kita mungkin orang paling kaya, tapi esok mungkin kita papa kedana. Hari ini kita mungkin orang yang mempunyai keluarga bahagia, tapi esok mungkin kita hidup seorang diri terkontang-kanting.

Sayangilah apa yang kita nikmati hari ini dengan selalu bersyukur pada Yang Maha Kuasa. Akan tetapi, tabahlah jika kita diduga, kerana segala-galanya milik Yang Maha Kaya. Tetapkan niat kita semata-mata kerana Yang Maha Esa, dan kita akan bahagia hidup di dunia sementara ini dan juga di dunia yang kekal selama-lamanya kelak.