Friday, July 27, 2007

Who We Are?

Bila mana kita duduk seorang diri tanpa melakukan apa-apa kerja, kadangkala kita terfikirkan tentang diri kita. Siapa diri kita yang sebenarnya? Kenapa kita wujud? Apakah tujuan kewujudan kita?

Banyak pendapat mengatakan setiap orang ada matlamat akhir kehidupan mereka. Baik untuk menjadi seorang yang berjaya di dalam bidang masing-masing, mahupun untuk bahagia hidup bersama keluarga. Ramai yang mengatakan mereka tahu kehendak diri masing-masing. Sebahagian besar mengatakan mereka tahu bagaimana untuk mencapai kehendak mereka. Dan tidak kurang, yang menyatakan mereka hilang punca dan arah apabila pelan hidup mereka tidak menjadi kenyataan kerana sebab musabab yang tertentu.

Semalam aku terfikir. Hidup aku punya macam-macam matlamat yang ingin aku capai. Hidup aku penuh dengan impian, tanggungjawab dan kehendak. Hidup aku bersulam penuh dengan lumrah manusia. Tapi, seperti lumrah manusia juga, banyak cabaran dan halangan muncul dalam hidup. Seperti lumrah manusia juga, banyak impian, tanggungjawab dan kehendak yang tidak kesampaian.

Jadi apa yang harus aku buat? Cuba lagi? Kecewa? Marah? Kesal? Bila aku fikirkan semula, aku dapati yang aku melakukan kesilapan paling besar dalam hidup aku. Kesilapan kerana aku gagal mengenali diri aku sendiri. Kesilapan kerana mempunyai matlamat hidup yang salah.

Hidup di dunia bukannya kekal. Tujuan kita hidup bukan untuk dunia. Tapi untuk kehidupan kita selepas di dunia. Kita diwujudkan semata-mata untuk beribadat kepada Tuhan Yang Satu. Niat utama kita hendaklah selaras dengan tujuan kewujudan kita. Barulah apa yang kita inginkan dalam hidup betul. Barulah cita-cita kita betul. Barulah cara kita betul. Kalau dunia ini impian kita, maka dunialah yang akan kita pegang. Akan kita kendong. Akan kita bergelumang. Hasilnya? Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Tapi kalau kita berpegang kembali pada jalan yang asal, kita akan tidak mudah kecewa. Tidak mudah marah. Tidak mudah kesal. Kita tahu, keinginan kita semata-mata kerana untuk mencapai keredhaan Allah. Jadi, kalau apa yang kita usahakan tidak seperti apa yang kita inginkan, kita akan redha dengan ketentuan Allah. Kita akan yakin keputusan tersebut adalah kehendak Allah, dan setiap kejadian yang diputuskan oleh Allah ada hikmahnya tersendiri. Hidup kita akan lebih yakin, teratur dan bebas dari niat buruk dan hasad dengki.

Jadi sama-samalah kita beringat selalu tentang tujuan kita diwujudkan. Mudah-mudahan kita selamat dunia dan akhirat. Amin

No comments: