Thursday, February 11, 2016

Dream

Mimpi. Semua orang pasti pernah bermimpi. Tak kira kecil atau besar. Muda atau tua. Pasti pernah bermimpi. Sama ada indah atau buruk. Sama ada mengasyikkan atau mengerikan.

Ada orang kata mimpi itu hanya mainan tidur semata-mata. Ada pula yang berkata mimpi ini godaan syaitan. Tak kurang pula yang mendakwa mimpi mereka adalah petunjuk yang diberikan oleh Allah. Benar atau tidak, hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Malam tadi, aku bermimpi sesuatu yang sangat unik. Mimpi yang tidak dapat aku gambarkan dengan kata-kata. Mimpi yang menyebabkan aku berasa sangat sedih dan sangat gembira pada masa yang sama. Mimpi yang mungkin hanya mainan tidur dan godaan syaitan, atau mungkin juga satu petanda dan kurnia.

Apa pun hakikat sebenar mimpi aku tersebut, mungkin sampai mati pun aku tidak akan tahu maksud dan kebenarannya. Biarlah mimpi itu menjadi rahsia antara aku dan Allah. Namun, sebaik sahaja aku bangkit dari tidur, air mata aku terus mengalir deras tanpa kuundang. Aku sebak. Aku pasrah. Aku redha.

Aku teringat tentang arwah ibuku. Aku teringat tentang arwah bapaku. Kadang kala, aku merasakan yang aku masih belum dapat menerima hakikat yang aku kini yatim piatu. Ya Allah, kau ampunilah kedua ibu bapaku. Tempatkanlah mereka di kalangan orang-orang yang beriman dan bertaqwa pada-Mu.

Kemudian, aku terfikir pula tentang diriku. Sediakah aku untuk mati? Cukupkah amal-amalku? Sudahkah dosa-dosa diriku yang banyak ini diampunkan Allah? Bersediakah anak-anak dan isteriku untuk meneruskan kehidupan di muka bumi ini dan beramal untuk menjadi pemberi syafaat kepada diriku di akhirat nanti? Ya Allah, berikanlah aku Khusnul Khatimah... sesungguhnya hanya Engkau yang Maha Pemberi sedang aku ini jauh sekali dari layak untuk menerimanya.

Mimpi. Mungkin hanya mainan tidur. Mungkin ianya petanda. Apa pun, yang penting ialah apa yang kita lakukan setelah bangkit dari tidur. Adakah kita terus lena dibuai mimpi? Ataupun kita bangkit melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya?

Friday, February 5, 2016

Accountability

Apakah yang kita faham tentang perkataan "Accountability"? Apakah yang menjadikan seseorang itu accountable? Adakah dengan memegang jawatan, orang itu sudah dikira accountable? Adakah dengan kata-kata, orang itu boleh meraih tahap accountability yang tinggi?

Pada aku, accountability bermaksud memegang amanah yang diberikan. Amanah mempunyai maksud yang lebih meluas dan mendalam berbanding dengan tanggungjawab. Orang yang bertanggungjawab belum tentu dia amanah, sedangkan orang yang amanah pasti akan bertanggungjawab.

Keliru?

Begini. Katakan anda seorang pengurus di sebuah syarikat pembekal barang-barang elektrik. Pada suatu hari, datang seorang pelanggan yang meminta wangnya dikembalikan kerana barang elektrik yang dibelinya tidak berkualiti dan telah rosak. Jika anda seorang pengurus yang bertanggungjawab, anda pasti akan menyiasat perkara tersebut dengan teliti, dan cuba sedaya upaya untuk memastikan syarikat anda tidak perlu membayar gantirugi yang diminta, kerana itulah tanggungjawab anda sebagai seorang pengurus... untuk menjaga nama baik syarikat dan memastikan keuntungan syarikat semaksimum mungkin. Anda memang seorang yang bertanggungjawab!

Tapi, adakah anda seorang yang amanah?

Kita hidup di dunia ini adalah sebagai pemegang amanah.

Amanah yang Allah beri kepada kita, sebagai seorang hamba-Nya, dan sebagai seorang khalifah di muka bumi ini.

Amanah yang keluarga kita beri kepada kita, sebagai seorang ayah/ibu, dan sebagai seorang anak kepada kedua orang tua kita.

Amanah yang majikan kita beri kepada kita, sebagai seorang pekerja, dan sebagai seorang pemimpin di tempat kerja.

Amanah yang negara kita beri kepada kita, sebagai seorang rakyat jelata, dan sebagai seorang yang melantik pemimpin negara.

Dan macam-macam amanah lagi yang dipertanggungjawabkan ke atas diri kita sama ada kita sedar atau pun tidak.

Persoalannya sekarang...

Amanah manakah yang telah gagal kita penuhi hari ini? Alasan apakah pula yang hendak kita bagi bila ditanya di hari pengadilan nanti? Gelap mata? Sibuk? Takut? Sakit hati? Merajuk? Benci? Kesempitan wang?

Semoga kita sama-sama perbaiki diri kita dalam memenuhi amanah yang diberi kepada kita.

Wednesday, February 3, 2016

2016

Sedar tak sedar, kini sudah masuk ke bulan February tahun 2016 Masihi. Bermakna semakin hari, aku semakin matang melalui hidup di dunia yang fana ini. Bermakna semakin hari, sisa saki-baki usia yang ada di jasad ini semakin hilang. Bermakna semakin hari, lebih dekat aku dengan kematian.

Banyak kenangan pahit manis yang telah aku alami sepanjang tahun 2015.

2015 menandakan secara rasminya aku menjadi seorang yatim piatu dengan pemergian arwah ibu yang tercinta.

2015 menandakan pertama kalinya aku menjejakkan kaki ke bumi yang suci yang pernah dihuni oleh Kekasih Allah Rasulullah SAW.

Aku bersyukur, kerana Allah masih lagi memberikan aku peluang untuk menempuhi 2016.

Apakah aku diberi peluang untuk bertemu 2017? Aku tidak tahu.

Semoga Allah menjadikan 2016 sebagai tahun yang lebih baik buat diri aku, dan tahun yang aku lebih baik.

Saturday, February 9, 2013

The Journey Begins

Cuti-cuti Malaysia tahun 2013 kini bermula!

Apa2pun perut kena isi dulu. Nampak gayanya, Restoran Taj IM8 lebih penuh daripada biasa. Ramai bercuti jugak agaknya.

Ringkasan perjalanan:
9.45AM - Bertolak dari Kuantan
10.50AM - Berehat sebentar di PETRONAS Muazam Shah
1.20PM - Pit stop solat Zohor di PETRONAS di antara Kuala Pilah ke Seremban
2.30PM - Tiba di Thistle Port Dickson
7.00PM - Bertolak ke LCCT untuk menjemput isteri dan anak terchenta
8.15PM - Tiba di LCCT
9.00PM - Bertolak dari LCCT
10.15PM - Tiba di Thistle.
11.30PM - Selamat malam

Tuesday, January 15, 2013

Twitter Killed My Blog

Hahah.. Salah satu alasan yang selalu kita dengari untuk mereka2 yang malas mengupdate blog mereka, termasuklah aku.

Jangan risau, tahun ini aje, dah 2 posts yang aku letak. Walaupun pendek2, tapi sekurang2nya dah lebih banyak daripada tahun 2012!

Aku baru saja mencuba menggunakan applikasi Blogger melalui iPhone. Kali terakhir aku menggunakannya pada tahun 2011, ia sungguh tidak mesra pengguna. Nampaknya jauh sudah kemajuan yang ada. Mudah2an, ia menjadi pemangkin untuk aku mudah berblog kembali... amin.