Thursday, December 7, 2006

Blaming Culture

Dalam sibuk-sibuk kita nak mencapai negara maju ni, rupa-rupanya ada juga banyak perkara yang kita semakin mundur. Dalam sibuk-sibuk kita ingin mencapai taraf global, rupa-rupanya ada juga banyak perkara yang kita semakin lokal. Perkara yang aku nak sentuh ialah pasal 'blaming culture' atau orang lokal sebut 'budaya menyalahkan orang lain'.

Smalam petang, salah seorang rakan serumah aku bercerita bagaimana apabila berlaku sesuatu masalah dan kekalutan, bermulalah adegan menyalahkan orang lain dan lepas tangan. Masing-masing lebih menumpukan tenaga untuk mencari siapa yang salah dan bukannya menumpukan tenaga untuk mencari penyelesaian masalah dan 'preventive actions' untuk memastikan masalah tidak timbul lagi pada masa akan datang.

Yang menariknya, perkara sebegini seolah-olah semakin berleluasa hari ini setelah pelbagai langkah diambil oleh pihak pengurusan (baik syarikat, mahupun negara). Teknik 'root cause problem solving' digunakan oleh sesetengah pihak untuk mencari kesalahan orang dan bukannya kelemahan sistem. Ketelusan yang dipromosikan oleh PM kita dijadikan saluran oleh sesetengah pihak untuk menjatuhkan musuh-musuh politik mereka. Boleh majukah kita sebegini rupa? Boleh globalkah kita dengan cara ini?

Yang bertambah menariknya, masa dok aku cuba mencari gambar-gambar yang sesuai untuk menunjukkan tema 'blame' untuk 'post' aku ni, terjumpa pula gambar yang aku tunjukkan di atas tu. "The secret to success is knowing who to blame for your failures". Agaknya, ini mantra baru yang diorang semua pakai kot? Entahlah...

Wednesday, December 6, 2006

Anger Management

Smalam terkedu sekejap bila aku mendengar cerita betapa penyabarnya seorang kawan aku ni. Dia banyak kali disakiti hati dek kawan baik dia. Akan tetapi, dia tetap berkawan lagi dengan kawan dia tu. Alasan yang kawan aku beri mudah aje. Dia tak nak hilang kawan. Dia taknak sakitkan hati orang lain walau macam mana pun orang tu sakitkan hati dia.

Bila dengar cerita dia, yang mana kadang-kadang dia terasa macam diri dia sampah; ditendang, dipijak, dicampak sesuka hati, tapi dia akan cepat-cepat beristighfar dan menginsafi diri dia sendiri kerana buruk sangka dengan orang lain. Aku cuba menguji dia dengan mengatakan orang yang tak menghargai kawan dia bukan lah kawan yang baik. Dan dia pun ada perasaan dan jangan terlalu menjaga hati orang lain sampai mengorbankan hati sendiri. Apa kata dia? Dia masih lagi boleh bersabar dan berserah pada Allah.

Seumur hidup aku, ini kali pertama. Pintu hatiku diketuk, oleh dua wanita. Ehehehe.. silap. Ni lirik lagu sana tunggu sini menanti. Apa yang aku nak tulis, seumur hidup aku, ini kali pertama aku berjumpa dengan orang yang begitu penyabar. Entah apa yang dia makan atau amalkan, aku pun tak pasti. Yang aku tau, dia mempunyai kelebihan untuk mampu tersenyum walau berjumpa dengan orang yang paling membenci dia. Aku? Jumpa tapak kaki pun belum tentu mampu tersenyum lagi.

Kalaulah dia boleh buat dan amalkan begini, kenapa tidak orang lain? Kenapa kita lagi suka memaki dari memuji? Kenapa kita lagi suka membenci dari mencintai? Kenapa kita lagi suka berbunuhan dari bekerjasama dan tolong menolong? Dunia sudah akhir zaman? Fikir-fikirkanlah...

Monday, December 4, 2006

New Acceptable Form Of Bribe?

Sejak akhir-akhir ni, aku tengok banyak betul cara yang orang gunakan untuk memastikan yang perniagaan mereka berjalan dengan lancar dan maju. Ada yang menggunakan taktik 'menyerang' pesaing mereka secara 'terbuka' seperti mana yang digunakan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi sekarang. Ada pula yang menggunakan taktik 'mengambil hati' pelanggan secara terang-terangan.

Apa yang aku ingin utarakan hari ini ialah taktik kedua yang aku sebutkan di atas. Mungkin ramai yang menganggap perkara tersebut adalah norma perniagaan hari ini dan menjadi asas penting untuk kemajuan sesebuah perniagaan. Aku tak nafikan, menjaga kepentingan pelanggan itu penting. Apa yang aku musykil ialah cara mereka menjaga kepentingan pelanggan atau bakal pelanggan itu.

Acapkali aku lihat dan pernah mengalami sendiri bilamana seorang wakil syarikat yang menjadi pelanggan diberikan bermacam-macam pemberian, baik dari segi 'belanja makan', hinggalah kepada 'belanja bermain golf'. Ada yang diberi 'hamper' semasa musim perayaan, dan ada yang diberi 'ole-ole' bila berjumpa. Hari ini, walaupun memang jelas jarang sekali ada yang memberi wang tunai sebagai ganjaran, tetapi pada aku, taktik-taktik yang diamalkan dan yang menyedihkan, yang diterima pakai oleh ramai orang, adalah satu bentuk baru rasuah.

Aku tahu dan pernah dengar dari mulut mereka yang rapat dengan aku, bahawa amalan sebegini bukan rasuah, cuma satu bentuk 'entertainment allowance' yang memang sudah diperuntukkan oleh syarikat. Aku pernah dengar yang mereka mengatakan amalan sebegini penting untuk memastikan kepuasan pelanggan atau istilah masa kini dikenali sebagai 'customer focus'. Apa yang menghairankan aku ialah kenapa kepuasan pelanggan ini diberi kepada individu tertentu sahaja? Dan kenapa pula kepuasan pelanggan ini tidak sebenar-benarnya memberi kepuasan kepada pelanggan dalam erti kata sebenarnya? Maksud aku ialah, pelanggan sebenar di sini tidak lain dan tidak bukan ialah syarikat yang menjadi pelanggan. Bukannya individu yang bekerja di syarikat tersebut!

Banyak cara boleh dilakukan untuk memberi kepuasan pelanggan yang sejati. Sebagai contoh, katakanlah kita mendapat kontrak bernilai RM10,000 untuk menukar 100 kerusi baru di pejabat pelanggan. Apa salahnya jika kita memberi sebuah kerusi tambahan sebagai hadiah daripada kita membelanjakan kos yang sama untuk memberi kepuasan kepada pekerja yang berurusan dengan kita dengan makan di hotel dengan kos RM100?

Fikir-fikirkanlah para bos, pekerja, penjual, pemborong, pembekal, pembeli, ejen, atau para apa sahaja yang korang jawat. Jangan di hari penentuan kelak, baru kita nak tergadah. Rasuah atau bukan rasuah, mungkin hanya Allah yang dapat menentukan. Tapi kita makhluk yang diberi nikmat untuk berfikir. Jangan persia-siakannya.

Sunday, December 3, 2006

CYA!

Heh.. teringat lak cerita masa salah sorang kawan aku pasal "CYA" atau istilah penuh dia "Cover Your A**" atau dalam bahasa melayu, "Jaga B***** Sendiri". Kawan aku sorang ni cakap yang para pengurus kat jabatan dia bekerja lebih suka mengamalkan "CYA" dalam banyak perkara.

Aku nak komen lebih-lebih, aku sendiri pun tak tau macam mana nak komen. Apa korang rasa kalau korang kat tempat para pengurus tu? Adakah korang mahu mendedahkan belakang korang untuk disebat, ditendang, ditontoni sesuka hati?

Apa-apa pun, pada pendapat aku, "CYA" perlu dalam hidup bekerja. Orang lagi mudah ingat kesalahan kita daripada kebaikan kita. Itu norma kehidupan yang tak dapat nak disangkal. Cuma kena sentiasa ingat, "CYA"lah asal jangan menyusahkan orang lain, dan jangan membuatkan orang lain benci pada kita. Itu apa yang aku rasa aku buat. Korang pulak macam mana? Hmmm....

Friday, December 1, 2006

Baby Thrown Down From Flat

From New Straits Times online:

KUALA LUMPUR: The newborn baby may have been still alive when it was placed in a rotting mess of kitchen refuse and hurled down an apartment block in Jalan Pudu Ulu, Cheras, yesterday.

When a sweeper found the infant with its umbilical cord still attached at 7.15am, it had been dead for two to three hours.

The back of the baby’s head had been crushed, most probably from the impact of the fall.

Police are trying to determine the unit from which the baby was thrown.

Huh! Gila apa manusia zaman sekarang ni? Buat anak reti, nak jaga anak tak reti. Dah la tak reti, yang pegi bunuh nye budak tak berdosa tu kenapa? Masya-Allah... memang dunia dah akhir zaman betul. Nilai harga manusia lagi rendah dari sampah sarap!

Aku bila terbaca berita ni, rasa sedih dan marah sesangat. Kot ye pun tak mampu nak bela budak tu sampai dia besar, cari lah sesiapa yang boleh bela. Ramai pasangan-pasangan kat dunia nih yang berpuluh tahun mencuba. Berpuluh tahun berdoa. Berpuluh tahun meminta. Ini sedap-sedap nak sedap, lepas tu sedap-sedap nak sedap.

Bila fikir-fikirkan balik, kenapa kes macam gini boleh terjadi? Adakah salah si ibu? Adakah salah si bapa? Adakah salah kerajaan? Adakah salah masyarakat? Dalam pada kita mengejar status negara maju, tak disangka-sangka (atau adakah memang sudah dijangka?), perangai rakyat kita semakin hanyut seperti negara maju. Masalahnya, tak pulak kita ikut perangai rakyat negara maju yang bersemangat tinggi, rajin bekerja, tidak mengharap belas ehsan orang lain semata, berilmu tinggi dan lain-lain lagi perangai yang baik-baik.

Pada mereka yang ada anak, atau dalam proses nak ada anak, cubalah renungkan kembali. Bagaimana cara kita mendidik anak-anak kita. Bagaimana cara kita menerapkan nilai-nilai murni di dalam diri anak-anak kita. Bagaimana cara kita mengukuhkan jati diri mengikut landasan agama masing-masing di jiwa anak-anak kita. Dan yang paling penting, bagaimana cara kita untuk memberi teladan dan contoh yang baik buat anak-anak kita. Jangan pula jadi "bapa borek, anak rintik". Beringatlah kita, yang anak-anak adalah tanggungjawab yang diamanahkan pada kita.. bukan sekadar "side effect" pada nafsu serakah kita.