Friday, February 2, 2007

One Day, One Room

Aku baru sahaja selesai menonton episod terkini rancangan bersiri "House" bertajuk "One Day, One Room". Ada satu 'quote' yang membuatku berfikir:

"That's what life is. It's a series of rooms. And who we get stucked in those rooms with, adds up to what our lives are."

Satu analogi yang cukup mudah tetapi benar. Kehidupan kita tidak lari daripada interaksi kita dengan persekitaran dan interaksi kita dengan individu lain. Banyak yang kita pelajari melalui interaksi sebegini, jauh lebih banyak daripada yang kita pelajari melalui buku teks atau majalah. Banyak pengalaman hidup yang kita aplikasikan melalui interaksi sebegini, jauh lebih banyak daripada yang kita belajar di dalam bilik darjah.

Interaksi kita dengan individu lain cukup unik. Kita mungkin memandang tinggi orang itu. Kita mungkin menjadikan orang itu sebagai idola. Kita mungkin menanam azam untuk mencontohi perwatakan atau keazaman orang itu. Kita mungkin ingin sehidup semati dengan orang itu. Kita mungkin membenci orang itu. Dan kita juga mungkin mencintai orang itu.

Apa persepsi, tingkah laku, cara pemikiran dan perbuatan kita hari ini adalah sebenarnya hasil interaksi kita dari saat kita mula bernafas menggunakan paru-paru kita, hinggalah sesaat yang lalu. Walau kita menjadi anak murid kepada ahli sarjana teragung dunia sekalipun, kita tetap kita yang lahir dari interaksi sebegini. Walau kita merupakan penyambung zuriat alim ulama sekalipun, belum terjamin kita akan menjadi seorang yang alim.

Jadi fikir-fikirkanlah bagaimana interaksi yang kita harapkan. Kita punya pilihan, seperti untuk memilih di mana kita berada dan dengan siapa kita berinteraksi. Jangan sampai kita hanya terperangkap di dalam bilik dengan orang-orang yang tiada niat membawa kita kepada kehidupan yang lebih baik pada hari esok berbanding dengan hari ini.

No comments: