Wednesday, September 15, 2010

Inheritance


Kekadang aku pelik apabila mendengar dan melihat gelagat manusia apabila berbicara dan berurusan tentang perkara2 berkaitan dengan harta pusaka.

Kekadang aku hairan apabila mendengar dan melihat adik-beradik bertelingkah duit deposit telefon yang hanya RM100+... menantu2 berebut rantai dua tiga utas dan gelang dua tiga urat... cucu2 berpusu2 mengambil cincin dua tiga bentuk.

Yang paling aku tidak faham ialah, masing2 sudah punya kereta besar berderet. Masing2 sudah punya tanah berekar. Masing2 sudah punya rumah yang tersergam indah.

Ada pula yang sanggup menuduh darah daging sendiri cuba menipu harta pusaka, hanya kerana harta peninggalan yang diinginkan tidak diperolehi. Ada yang sanggup putus saudara kerana tidak puas hati dengan wasiat. Ada juga yang belum lagi pulang ke rumah, sudah pun mempunyai perancangan tentang apa yang ingin dibuat dengan harta yang bakal diwarisi.

Tetapi, Alhamdulillah... ada juga yang sanggup mengalah demi kebahagiaan dan keharmonian keluarga dan sanak saudara. Walaupun semasa hidup si arwah, dialah yang paling cekal dan sabar menjaganya. Walaupun semasa hidup si arwah, dialah yang paling perit menghadapi cabaran, baik dari segi tulang empat kerat, mahupun wang ringgit.

Apa2 pun, pada pendapat aku, sebaik2nya, guna pakailah sistem dan tatacara yang telah wujud sejak dari dulu lagi.. sistem yang menjanjikan keadilan dan meletakkan hak2 ditempat yang betul... iaitu sistem Faraid. Kepada yang berminat untuk mengetahui dan mendalami sistem ini, terdapat banyak laman2 web yang boleh dirujuki.. salah satunya ialah http://maths.usm.my/faraid/msl/default.html. Aku? Insya-Allah, aku kerap berpesan kepada isteri aku.. sekiranya terjadi apa2 pada aku, guna pakailah Faraid. Aku percaya dan yakin, itulah sebaik2nya. Wallahu a'lam.

Sunday, September 12, 2010

Testing

Ini adalah satu cubaan semata2 dan tiada kaitan antara yang hidup mahupun yang telah meninggal dunia.

Manakala gambar yang digunapakai pula adalah sebagai ilustrasi sahaja dan tidak melambangkan atau mewakili apa2.

Hari ini, aku mencuba applikasi yang dikenali sebagai BlogPress. Entah apa hasilnya, belum lagi dapat aku pastikan. Harap2 jangan sampai menghancurkan blog aku ini, sudahlah.

Apa2 pun, harapan aku hanyalah satu. Sekurang2nya, aku boleh menulis (menaip mungkin lebih tepat) pada bila2 masa dan di mana2 sahaja tanpa perlu berada di depan komputer. Mudah2an, dengan teknologi ini, aku akan lebih kerap 'mengupdate' ruangan ini. Amin.



- Posted using BlogPress from my iPhone

Thursday, September 9, 2010

Selamat Hari Raya


Insya-Allah, jika dipanjangkan umur kita, esok kita bakal bertemu dengan Hari Raya Aidilfitri 1431H. Diam tak diam dah 29 hari kita berpuasa dan jika diizinkan Allah, tahun ini kita akan bakal menamatkan 30 hari puasa di bulan Ramadan.

Dalam sepanjang bulan puasa tahun ini, pelbagai dugaan, rintangan dan ujian telah kita tempuhi. Ada yang dengan mudah kita tempuhi, dan ada juga yang penuh penat lelah kita hadapi. Tak kurang juga, ada yang berjaya menewaskan kita.

Tak kira apa pun dugaan, rintangan dan ujian tersebut, sudah pasti apa yang terjadi tetap memberikan kesan kepada diri kita. Sama ada sikit atau pun banyak. Sama ada kenangan manis atau pun pahit. 

Namun, sejenak di akhir Ramadan ini, mari kita renung-renungkan kembali segala dugaan yang telah kita hadapi... bukan sekadar hanya untuk mengimbau kisah silam, akan tetapi yang lebih bererti ialah tentang apa yang kita pelajari dan ambil iktibar daripada dugaan-dugaan tersebut. Adakah kita belajar sesuatu daripada perkara tersebut? Adakah kita berubah ke arah kebaikan atau pun kita berubah ke arah keburukan akibat daripada peristiwa tersebut? Atau, adakah mungkin segala kejadian yang berlaku sekadar helaian-helaian kosong di dalam diari hidup kita?

Apa-apa pun, hayatilah semula Ramadan kita tahun ini, dan berdoalah yang terbaik semoga ia berjaya menjadikan kita insan yang lebih baik daripada Ramadan-Ramadan sebelum ini. Semoga kepada semua yang bakal menyambut Syawal tahun ini akan dapat menyambutnya dengan penuh ceria dan makna. Semoga semua dalam keadaan selamat sejahtera dan bahagia. Salam Aidilfitri untuk semua!

Wednesday, September 8, 2010

Puasa


Semalam masa dalam perjalanan balik ke kampung halaman terchenta, pelbagai ragam orang2 Malaysia yang sempat aku pandang dan lihat. Yang paling pelik serta menyedihkan ialah ragam orang2 Islam berpuasa... atau lebih tepatnya, tak berpuasa di akhir2 Ramadan ini.

Dari Kuantan ke Kluang; perjalanan yang memakan masa 4 jam; rasanya tak kurang dari 15 buah kenderaan yang aku lintasi membawa orang2 yang tanpa segan silu gagal untuk menunaikan tanggungjawab mereka terhadap Rukun Islam yang ketiga ini.

Rata-rata, majoritinya adalah terdiri daripada golongan pemuda yang berasap mengalahkan serombong kapal. Tak kurang juga golongan ini begitu asyik mengunyah sesuatu dalam mulut. Ada juga anak2 remaja yang khusyuk melakukan senaman mulut bak iklan 'chewing gum' di bahagian belakang kereta sedangkan bapak-bapak dan emak-emak mereka berbuat2 tak tahu apa2 di depan kereta. Itu yang jelas nyata. Tak termasuk lagi mereka2 yang 'berpuasa' tapi hanya sekadar lapar dan dahaga!

Bila difikir2kan kembali, apalah nak jadi pada manusia akhir zaman ini. Adakah kita semua majoritinya hanya Islam pada nama? Jika dulu ramai yang masih ada kemaluan untuk tidak melakukan kesalahan agama secara terang2an, sekarang keadaan sungguh berbeza. Inikah yang dinamakan kemajuan? Inikah yang dinamakan kemerdekaan? Oh Manusia!

Sunday, September 5, 2010

2 Years 4 Months 17 Days

Ya, itulah lamanya tempoh masa dari kali terakhir blog ini berupdate hingga ke hari ini... begitu pantas masa berlalu. Begitu banyak perubahan yang berlaku.

Alhamdulillah, bagi yang tertanya2, aku masih lagi bernafas di Kuantan... bersama2 isteri terchenta dan juga anak sulung yang sudah pun berusia hampir mencecah 2 tahun 5 bulan.

Mengapa lama aku menyepi? Hmm... Mungkin kerana perubahan dunia yang beralih arah dari blog ke friendster, dan kemudian ke facebook. Sekarang, dengan aliran arus kehidupan yang memerlukan segala2nya berlaku dengan pantas, Twitter yang menjadi pilihan.

Mungkin juga, kerana dengan kehidupan yang berbeza setelah bertiga, aku lebih gemar memilih untuk menghabiskan masa lapang bersama2 keluarga daripada bersama komputer.

Mungkin juga, kerana komputer desktop aku yang setelah sekian lama berbakti, akhirnya telahpun menghembuskan elektron terakhirnya pada Jun 2008 yang lalu.

Mungkin juga, kerana kerja2 di pejabat semakin lama semakin mencabar, semakin memamah kederatku yang semakin lama semakin nipis ini.

Apa pun, aku berharap, segala perubahan yang berlaku, tidak akan menghalang aku untuk meneruskan apa yang aku minat. Tidak akan membantutkan cita2 aku untuk terus menulis di dalam blog ini.. bukan sekadar untuk menghabiskan masa, tapi untuk meluahkan pendapat, perasaan dan komen2 tentang kehidupan.. berdasarkan apa yang aku pandang.. apa yang aku dengar.. apa yang aku bau.. apa yang aku rasa.. dan apa yang aku fikirkan. Salam bertemu kembali hendaknya!