Thursday, September 9, 2010

Selamat Hari Raya


Insya-Allah, jika dipanjangkan umur kita, esok kita bakal bertemu dengan Hari Raya Aidilfitri 1431H. Diam tak diam dah 29 hari kita berpuasa dan jika diizinkan Allah, tahun ini kita akan bakal menamatkan 30 hari puasa di bulan Ramadan.

Dalam sepanjang bulan puasa tahun ini, pelbagai dugaan, rintangan dan ujian telah kita tempuhi. Ada yang dengan mudah kita tempuhi, dan ada juga yang penuh penat lelah kita hadapi. Tak kurang juga, ada yang berjaya menewaskan kita.

Tak kira apa pun dugaan, rintangan dan ujian tersebut, sudah pasti apa yang terjadi tetap memberikan kesan kepada diri kita. Sama ada sikit atau pun banyak. Sama ada kenangan manis atau pun pahit. 

Namun, sejenak di akhir Ramadan ini, mari kita renung-renungkan kembali segala dugaan yang telah kita hadapi... bukan sekadar hanya untuk mengimbau kisah silam, akan tetapi yang lebih bererti ialah tentang apa yang kita pelajari dan ambil iktibar daripada dugaan-dugaan tersebut. Adakah kita belajar sesuatu daripada perkara tersebut? Adakah kita berubah ke arah kebaikan atau pun kita berubah ke arah keburukan akibat daripada peristiwa tersebut? Atau, adakah mungkin segala kejadian yang berlaku sekadar helaian-helaian kosong di dalam diari hidup kita?

Apa-apa pun, hayatilah semula Ramadan kita tahun ini, dan berdoalah yang terbaik semoga ia berjaya menjadikan kita insan yang lebih baik daripada Ramadan-Ramadan sebelum ini. Semoga kepada semua yang bakal menyambut Syawal tahun ini akan dapat menyambutnya dengan penuh ceria dan makna. Semoga semua dalam keadaan selamat sejahtera dan bahagia. Salam Aidilfitri untuk semua!

No comments: