Saturday, November 25, 2006

Life As It Is...

Kadangkala, kita selalu terfikir kenapa hidup kita ni tak sepertimana yang kita inginkan. Dari masa kita masih kecil, sampailah ke akhir hayat, kita selalu dibelenggu dengan keinginan untuk memperoleh hidup yang lebih baik pada pandangan kita. Tetapi, sejauh manakah keinginan kita itu sebenar-benarnya yang lebih baik bagi kita?

Sebagai contoh... semasa kita berumur 18 tahun, setelah berhempas pulas mendapatkan lesen kereta, kita mula menyimpan keinginan untuk mempunyai kereta sendiri. Tapi apakan daya, makan pun ketika itu ditanggung oleh mak bapak kita. Setelah kita bercengkang mata siang dan malam belajar, akhirnya kita mendapat kerja yang elok. Oleh kerana kita hanya seorang 'kuliketif', kita terpaksa berhempas pulas setahun dua untuk mengumpul duit dan membeli sebuah kereta terpakai. Kita bangga kerana akhirnya hasrat kita tercapai. Setakat itukah? Setahun dua mungkin ya. Tetapi setelah jemu dengan kereta lama, dalam diam kita mula menyimpan hasrat membeli kereta baru yang sungguh 'daring to dare'. Kemudian kita sekali lagi berhempas pulas bekerja dan menyimpan wang untuk memenuhi cita-cita baru kita. 5 tahun setelah itu, akhirnya wang yang dikumpul telah cukup dan gaji kita sudah memadai untuk membayar ansuran kereta yang diidam-idamkan. Tersergam indahlah kereta yang sungguh 'daring' itu di halaman rumah kita. Oleh kerana kita selalu berhempas pulas, kita dikurniakan pula rezeki dinaikkan pangkat menjadi seorang pengurus di syarikat tempat kita bekerja. Sebagai pengurus baru, kita mula merasakan yang kereta 'daring' sudah tidak lagi 'daring' untuk jawatan kita yang mula meningkat naik. Terasa yang anak buah kita memandang hina pada kereta yang tidak setaraf dengan diri kita. Sekali lagi, kita mula mengidamkan kereta baru. Begitulah seterusnya.

Itulah hakikat hidup. Yang sedihnya, ramai yang begitu adalah dari mereka yang mengaku sebangsa dengan aku. Yang sedihnya, aku belum pernah mampu menyumbangkan apa-apa untuk mengubah keadaan. Yang sedihnya, aku belum pernah mencuba untuk mengubahnya. Kini sekurang-kurangnya, aku ingin keluar dari salah satu kesedihan aku melalui 'blog' aku ini.

Apa-apa pun, aku bukannya menyalahkan mereka yang menginginkan sesuatu yang lebih baik untuk diri mereka. Aku cuma ingin mengajak mereka berhenti sejenak dari kekalutan hidup dan cuba melihat kembali hidup mereka melalui satu perspektif baru. Aku bukannya mengatakan apa yang aku luahkan di sini adalah betul belaka. Tidak sekali-kali. Aku cuma mencoretkan apa yang aku lihat, dengar, rasa dan fikir melalui pandangan hidup aku. Aku terima jika korang mempunyai pandangan atau perspektif yang berbeza dengan aku kerana aku tahu aku hanya manusia yang jauh dari sempurna. Aku tahu yang aku masih belajar dan akan terus belajar tentang kehidupan selagi aku masih hidup. Aku tahu yang walaupun rambut kita sama hitam (relevan lagi ke zaman sekarang ni?), tapi hati kita lain-lain. Aku cuma berharap agar kita sama-sama terus berfikir... adakah keinginan kita itu sebenar-benarnya yang lebih baik bagi kita?

Semoga Allah memberikan aku kekuatan untuk terus mencoretkan isi hati aku di 'blog' ini untuk tatapan dan renungan korang semua yang tersesat masuk ke sini. Apa yang baik jadikanlah pengajaran. Yang buruk jadikanlah pengajaran.

Salam perkenalan dari aku buat semua....

No comments: