Wednesday, January 10, 2007

Screw & Leaves

Semalam masa balik dari tempat latihan bersama-sama dengan salah seorang kawan, kitorang berbual berkenaan cara-cara untuk meningkatkan kemahiran berfikir. Salah satu pengalaman yang diketengahkan oleh dia ialah melalui pengkaitan antara dua objek berbeza.

Apakah konsep pengkaitan dua objek berbeza ini? Mudah sahaja. Cuba kita cari dua objek yang betul-betul berbeza, seperti contoh yang diberinya ialah skru dan daun. Kedua-duanya jauh berbeza bukan? Sekarang, cuba kita kaitkan kedua-dua objek ini mengikut kreativiti kita sendiri. Apa yang boleh kita hubungkan skru dengan daun?

Antara idea-idea yang terjasil sepanjang perjalanan kitorang adalah seperti berikut:
1) Kita boleh mencipta hasil kraftangan baru dengan sama ada menskrukan daun-daun yang telah dirawat ke sebuah papan untuk dijadikan perhiasan.
2) Kita juga boleh mencipta perhiasan dengan menjadikan skru seperti daun-daun pada pokok renek / bonsai
3) Kita boleh melakukan kajian terhadap kesan daun yang dimampatkan pada tekanan tinggi untuk dijadikan bahan untuk membuat skru secara mesra alam
4) Kita juga boleh mengkaji struktur daun untuk memperkuatkan struktur skru
5) Kita boleh mencari daun yang sesuai dijadikan pengikat skru bagi menggantikan teknologi yang digunakan sekarang
6) Kita mungkin tidak sedar bahawa skru mungkin mula-mula dicipta di sebuah bangsal yang penuh dengan daun
7) Kita juga mungkin tidak tahu yang skru dan daun dicipta oleh makhluk asing yang cuba membuang masa orang-orang yang cuba mengaitkan antara kedua-dua objek ini.

Idea ketujuh di atas hanyalah sebagai penutup idea-idea yang kitorang sempat fikirkan semalam. Jika tidak, mungkin beratus-ratus idea lagi boleh terhasil dengan hanya mengaitkan dua objek yang langsung tidak ada kaitan terus itu.

Menarik. Ada juga aktiviti yang boleh kita buat bila kita kebosanan seseorang ketika menunggu sesuatu yang bukan sahaja memenuhi masa statik kita, tetapi melatih kita untuk berfikir secara kreatif dan menguatkan daya pemikiran kita. Jadi daripada kita membuang masa begitu sahaja lain kali, cuba-cubalah teknik yang dikongsi bersama oleh hamba Allah sorang ni. Mana tahu, mungkin daripada satu juta idea yang terhasil, satu dua daripadanya boleh membuatkan kita jutawan?

No comments: