Monday, January 15, 2007

Time Does Fly

Hari ini merupakan hari terakhir Mai (panggilan aku untuk ibu a.k.a. mak a.k.a. mum a.k.a. mother yang tercinta) bertugas secara rasmi sebagai guru di Sekolah Tunku Mahmood (1) Kluang. Pejam celik, pejam celik, rupa-rupanya besok dah mencecah 55 tahun umur Mai. Kejap sungguh masa berlalu.

Rasa macam baru dua tiga hari, aku menangis meminta dia membantu aku menyiapkan kerja rumah subjek lukisan Tahun 1 yang memang aku tidak berbakat. Rasa macam baru dua tiga hari aku merengek meminta Nintendo sebagai hadiah semasa aku di Tahun 5. Rasa macam baru dua tiga hari aku mengadu padanya melalui telefon pada waktu sebelum subuh kerana aku tidak biasa hidup berdikari di sekolah berasrama penuh sewaktu aku di Tingkatan 1. Rasa macam baru dua tiga hari dia memeluk dan menciumku dengan gembira selepas Majlis Anugerah Cemerlang 1996 selepas aku selesai menjalani peperiksaan SPM. Rasa macam baru dua tiga hari dia bersusah payah menghantar aku ke Tronoh untuk melanjutkan pelajaran. Rasa macam baru dua tiga hari aku melangkah ke alam pekerjaan dengan berbekalkan nasihat dan kasih sayang yang tak kunjung putus dari dia. Hari ini, berlalu lagi satu peristiwa yang tanpa jemu mewarnai hidup kita semua.

Terasa begitu pantas masa meninggalkan kita. Sempatkah kita membalas segala jasa-jasa dan keringat insan bergelar ibu ini? Sempatkah kita menunaikan janji-janji si anak kecil yang kita buat satu ketika dulu? Sempatkah kita memohon ampun dan maaf atas segala salah dan silap yang kita buat secara sengaja atau tidak apabila kehendak kita tidak dipenuhi?

Sempatkah kita?

No comments: