Sunday, December 10, 2006

Technology and Us

Excerpt from the movie 'Pulse':

"What was meant to connect us to one another, instead connected us to forces that we could've never imagined."

Pagi tadi lepas Subuh, aku melayan cerita Pulse. Mula-mula, persepsi aku ialah filem ni adalah satu lagi filem-filem hampeh sekumpulan dengan "The Net". Rupa-rupanya tanggapan aku silap. Walaupun bukan dalam golongan "A Rating" punya filem, tapi konsep yang cuba diketengahkan cukup untuk membuatkan aku berfikir. Berfikir tentang betapa tingginya pergantungan kita kepada teknologi. Berfikir tentang isu-isu 'privacy', 'online security' dan seumpamanya.

Bayangkan hidup kita hari ini. Siapa yang tidak mempunyai telefon bimbit? Siapa yang tidak menggunakan internet? Pakcik makcik kat kampung? Mereka juga menggunakan internet. Tak percaya? Bila mereka pergi ke bank untuk menyimpan atau mengeluarkan duit, sistem perbankan bersambung dengan internet. Bila mereka memohon kad pengenalan baru, sistem Jabatan Pendaftaran Negara bersambung dengan internet. Tahun depan, jika mereka membeli kereta baru, plet kereta mereka akan dilengkapi dengan 'IR Transmitter' yang boleh dibaca dengan pengimbas yang boleh bersambung dengan internet. Jadi siapa kata tiada orang yang mempunyai hubungkait dengan teknologi maklumat dan komunikasi hari ini?

Bayangkan jika kita tidak lagi selamat seperti dulu. Ingin mencari dimana seseorang? Teknologi GPS boleh mencari lokasi seseorang walaupun dia menyorok di dalam bilik air rumahnya. Ingin mencari maklumat peribadi seseorang? Pelbagai sumber boleh dicapai melalui jalinan rangkaian menggunakan internet, walaupun mungkin bukan secara langsung. Dan bayangkan, jika kita tidak lagi perlu membayangkan perkara ini kerana teknologi tersebut memang ada.

Jadi hidup kita tidak lagi seperti dulu. Pergantungan kita kepada ICT sudah menjangkau batasan keperluan mewah. ICT sudah menjadi keperluan asas. Adakah ini sesuatu yang baik? Ya dan tidak. Ya kerana taraf hidup kita jauh lebih tinggi daripada dulu. Tidak kerana kita akan alpa dan leka dengan pergantungan kita hingga kita lupakan asas komunikasi yang utama iaitu kualiti perhubungan kita dengan insan lain.

Jadi, fikir-fikirkanlah, bagaimana menggunakan teknologi kepada sesuatu yang bermanfaat buat diri kita semua dan bagaimana untuk menjaga diri kita daripada terdedah kepada ancaman-ancaman baru zaman siber hari ini.

No comments: