Sunday, May 27, 2007

Past, Present & Future

Hari ini, aku terfikir tentang pelajaran Sejarah yang kita ambil semasa di sekolah dulu. Berapa ramaikah antara kita yang suka mata pelajaran yang dianggap paling sukar dan membebankan ini? Berapa ramaikah antara kita yang percaya bahawa subjek yang diajar akan berguna kepada kita di alam pekerjaan nanti, baik sebagai seorang doktor, jurutera, pakar IT mahupun sasterawan? Berapa ramaikah antara kita yang memahami sejarah negara kita dan bukan sekadar menghafal fakta-fakta dan tahun peristiwa?

Hari ini, aku terfikir tentang Sejarah setelah menonton cerita Stomp The Yard lakonan Columbus Short dan Meagan Good. Ringkasan plot cerita tersebut di IMDB.com:

"After the death of his younger brother, a troubled 19-year-old street dancer from Los Angeles is able to bypass juvenile hall by enrolling in the historically black, Truth University in Atlanta, Georgia. But his efforts to get an education and woo the girl he likes are sidelined when he is courted by the top two campus fraternities, both of which want and need his fierce street-style dance moves to win the highly coveted national step show competition."

Jadi apa kaitan Stomp The Yard dengan sejarah hinggakan aku boleh mengutarakan persoalan tentang subjek Sejarah di sini? Sebenarnya salah satu plot di dalam cerita tersebut yang telah membuatkan aku terfikir. Plot di mana watak April bertanyakan soalan berikut semasa di akhir sesi tutorial subjek Sejarah:

"What was the difference between Republicans' and the Democrats' political response to the Great Depression in the 1930s?"

Dan jawapan yang diberikan oleh DJ:

"But by political response, were you referring to the Republicans' belief that the marketplace will correct itself as opposed to the New Deal laid out by the Democrats?"

Aku terfikir, adakah kurikulum pelajaran Sejarah yang kita lalui di zaman sekolah dahulu benar-benar menjadi asas kepada kita untuk membuka minda agar mempelajari kesan atau impak sesuatu peristiwa agar dapat dijadikan tauladan ataupun sempadan di dalam kita menghadapi cabaran hidup akan datang atau sekadar untuk mengagung-agungkan tokoh-tokoh silam? Bukan maksud aku untuk merendah-rendahkan pengorbanan dan perjuangan mereka. Cuma aku tidak yakin dengan keberkesanan kurikulum Sejarah yang sedia ada mampu untuk menghasilkan modal insani bermutu yang dikehendaki negara.

Kita masih nampak rakyat negara kita yang memandang tinggi orang Barat dan memperlekehkan orang Timur walaupun kita tahu sejarah menceritakan kedatangan Barat ke negara kita satu ketika dulu untuk mengejar "Gold, Glory & Gospel". Kita masih mengagung-agungkan harta, pangkat dan darjat walaupun kita tahu sejarah mengajar tentang kejatuhan Kerajaan-Kerajaan Melayu Lama disulami oleh perasaan tamak haloba. Kita masih mengikut secara membuta tuli walaupun sejarah mengajar tentang keperitan dan kejerihan hidup kerana terlalu fanatik dengan sesuatu pandangan atau pendapat yang disulami dengan niat-niat tertentu oleh sesetengah pihak sepertimana terjadi di awal kemerdekaan kita. Apakah yang kita pelajari dari mata pelajaran Sejarah hari ini yang dapat menjadikan kita bangsa dan rakyat Malaysia yang kukuh, bersatu padu, aman, damai, tidak bersikap prejudis, tidak bersikap tamak dan mementingkan diri sendiri, serta berusaha keras untuk menjadikan diri kita di kemuncak peradaban dunia dan bukan sekadar untuk kepuasan dan kesenangan diri sendiri semata-mata?

Persoalan yang ingin aku utarakan sekarang... mampukah kita mengubah diri kita, agar satu hari nanti, sejarah hidup kita akan tertera di dalam buku-buku Sejarah, bukan hanya sekadar untuk dihafal, tetapi untuk menjadi panduan, pedoman dan sumber inspirasi kepada generasi kita akan datang?

Mampukah kita?

No comments: